Monday, October 3, 2011

ZIARAH WADA' DAN RAUDHAH BUAT KALI TERAKHIR 1431H

Malam ini di hotel ada bacaan Yassin dan Tahlil tapi aku tidak turut serta, aku tidur awal sebab esok 27 October 2010 ada misi besar yang akan aku lakukan - Ziarah Wada' dan Raudhah buat kali terakhir di bumi Madinah pada tahun 1431H, tahun pertama aku mengerjakan ibadah haji pada usia 38 tahun. ALLAHUAKBAR! Syukran ALLAH kerana menjemput aku menjadi tetamu-MU di kala usia muda. Hari esok juga aku akan menginggalkan bumi Madinah untuk menuju ke Mekah untuk meneruskan ibadah dan kemuncak haji.

Aku terlelap sekitar jam 9.15 malam dan tersedar apabila hp quick alarm set berbunyi pukul 1.55am. Aku teringat telekung yang aku hantar malam tadi ke dobi, aku mendail 444 untuk bertanyakan telekung, kemudian mandi sunat ihram, pakai baju dan potong kuku. Aku berkata dalam hati kalau telekung tak siap aku pakai saja tudung putih ni, tak pe lah..yang penting umrah yang sempurna. Tiba-tiba dalam pukul 2.20am pintu bilik ku diketuk. Alhamdulillah! telekung ku telah siap dicuci dan digosok. Walaupun baru sekali dipakai, aku tetap mahukan yang terbaik untuk ibadah Umrah wajib yang pertama kali aku buat, InsyaALLAH.

Sekitar 2.30am aku bergerak ke Masjid selepas meminta izin dan memaklumkan pada Hadi, keluar dari pintu hotel seorang diri, kelihatan beberapa orang jemaah juga sudah ke Masjid yang jaraknya lebih kurang 80m dari hotelku. Seperti kebiasaan aku lantas mengucapkan salam kepada penghuni Baqi' (hotel kami bertentangan dengan perkuburan Baqi') "aku jua akan menyusul kalian pada satu hari nanti" aku berjalan perlahan-lahan ke Annabawi juga hati ini berdoa "Ya ALLAH, aku pergi mengharap RedhaMU dan takutkan marahMU..AMIN"

Hati mula terasa sebak ketika setapak kaki masuk melangkah ke dalam gate Masjid, pada mulanya aku ingin terus ke Dewan Solat Wanita tapi hati ini berkeras untuk menziarahi makam Nabi dahulu. Aku pun mengubah haluan yang sepatutnya ke kanan, aku terus melangkah laju menuju ke hadapan kubah hijau, sambil mulut berselawat ke atas Nabi. Air mata mula bergenang dikelopak mata. Samapi di spot yang Hadi beritahu iaitu tepat bertentangan dengan kubah hijau di bawahnya adalah makam Nabi, aku berdiri tegak disitu dan mengucap "Assalamualaikum Ya Rasullallah", dan berganjak selangkah ke kiri "Assalamualaikum Ya Abu Bakar", dan kemudian selangkah lagi ke kiri "Assalamualaikum Ya Umar". Kemudian aku kembali 3 langkah ke kanan, kembali di hadapan makam Rasullallah dan berkata, "Ya Rasullallah, ini adalah merupakan hari terakhir aku di sini, selepas ini aku akan ke Makkah meneruskan ibadah Hajiku. Aku berjanji akan datang ke sini lagi bersama suami dan anak-anakku. Selawat dan Salam ke atas engkau dan keluargamu". Aku juga berterima kasih kepada Abu Bakar yang menjadi sahabat yang selalu membenarkan Nabi ketika semua manusia mendustakan, tidak lupa juga kepada Saidina Umar Al-Khatab, seorang Pahlawan Islam yang gagah berani yang banyak membantu Nabi sehingga tertegaknya Islam di bumi Madinah dan Tanah Arab".

Aku kemudian berpaling ke arah kiblat(membelakangkan makam Nabi) dan berdoa bersungguh-sungguh memohon kepada ALLAH keampunan dosa, kemurahan rezeki, kesihatan yang baik dan lain-lain. Air mata bercucuran dan hati berdoa moga akan dapat bertemu Rasullallah, kaum keluarga Baginda dan para sahabat di Syurga kelak. Juga tidak lupa memohon kepada ALLAH jika telah sampai ajalku, izinkan aku mati di bumi Madinah, bumi yang penuh Barakah ini. Sesekali menghembus hingus dan menyeka air mata, begitu bersungguh-sungguh tangisan aku ketika itu.

Seusai berdoa dan menyeka air mata, aku sekali lagi menghadap makan Nabi dan berkata "Selamat tinggal Ya Rasullah, aku akan ke Raudhah selepas solat Fajr nanti, InsyaALLAH. Air mata dan selawat mengiringi langkahku ke perkarangan AnNabawi ke bahagian perempuan.

Masuk ke Dewan Solat Wanita, hatiku berdoa, Ya ALLAH kau dorongkanlah langkah kakiku ini ke tempat yang paling baik untuk ke Raudhah. Aku hanya membiarkan langkahku dan tanpa ku sedari aku berada betul-betul di depan pintu pemidang antara bahagian lelaki dan perempuan, aku terus mengambil tempat disebelah kiri dan kanan jemaah Indonesia, seperti biasa mereka ini begitu cekap sekali. Seusai solat fajr, aku duduk bersama mereka di barisan paling hadapan menghadap pintu ke Raudhah. Aku berdoa moga pintu ini yang akan dibuka, mulut tak henti-henti berdoa dan berselawat Nabi sambil sekali-sekala diterjemah oleh hati. Aku juga sempat menjamah donut dan jus apple yang Hadi berikan semalam sementara menunggu jam 6.30am pintu dibuka.

Seperti kebiasaanya, petugas Masjid Nabi akan memberi penerangan, aku tidak menumpukan sangat perhatian kerana khusyuk dengan selawat dan tiba-tiba pintu dibuka, Alhamdulillah seperti dirancang pintu yang dibuka betul-betul dihadapan aku! seperti biasa, jemaah-jemaah Indonesia akan berlari-lari sambil berselawat, aku cuma berjalan laju, malu aku melihat gelagat mereka ditempat yang mulia ini. Apabia sampai di Raudhah, sekali lagi hati berdoa moga diberi tempat yang paling baik, dan terbentang didepan mataku dibelakang tiang tempat pilian untuk solat hajat. Puas berdoa dalam sujud akhir, dan memberi salam aku merasakan inilah masanya untuk aku beredar dari Raudhah. Aku sempat berpaling dan mengucapkan "Selamat Tinggal Ya Rasulallah, Abu Bakar dan Umar. InsyaALLAH kita akan bertemu lagi, tiba-tiba belakangku dipegang oleh polis wanita dan aku dikehendaki beredar secepat mungkin kerana jemaah lain akan masuk. Apabila keluar dari kawasan Raudhah di karpet merah aku melakukan sujud syukur.

Terima kasih ALLAH kerana memudahkan urusanku, aku dapat rasakan layanan kepadaku memang sangat istimewa saat aku menjejakkan kaki di bumi Madinah hingga ke akhir aku berangkat ke Makkah. Alhamdulillah..

Pagi yang indah, aku keluar ke Dewan solat untuk mengambil kasut, dan aku menginfak beberapa riyal kepada cleaner-cleaner Masjid Nabi tanya syukur kepada nikmat ALLAH.

No comments:

Post a Comment