Sunday, October 2, 2011

JUMAAT 22 OCT. 2010

Hati bagai dipanggil untuk ke Raudhah hari ini. Seusai solat subuh dan solat sunat jenazah kakiku terus melangkah menuju ke bahagian kanan Masjid Nabi. Kelihatan Jemaah Haji Indonesia sudah berkumpul di ruangan hadapaan penghalang kayu dibahagian berkarpet. Bisikan hati mengatakan inikah pintu nak ke Raudhah? Aku pun menyelit duduk di bahagian depan Jemaah Haji Indonesia. Mulutku tak putus-putus berselawat atas Nabi. Selawat yang ustaz ajar selawat semasa tahiyat adalah yang terbaik. Bacaan sekali sekala diterjemahkan di dalam hati. Sebelullm pintu dibuka, penerangan dari petugas masjid berpesan supaya jangan berlari-lari dan jangan menolak-nolak kerana ini Masjid Nabi. Kita hendaklah menghormati masjid Nabi, kata petugas dalam dialek Indonesianya yang fasih.

Aku berkata dalam hati, InsyaALLAH..aku tidak akan berlari, pengalaman pertama masuk ke Raudhah pagi semalam benar-benar member pengajaran dan pengalaman. Aku ketika itu berada ditengah-tengah Jemaah Indonesia. Apabila pintu dibuka menderu Jemaah Indonesia bertolak-tolak dan berlari-lari dan aku juga terdorong untuk berlari bukan kerana apa, takut ditolak dan dihimpit oleh Jemaah Indonesia yang begitu taksub dan ekstrem sehingga melanggar adab di dalam masjid Nabi. Pagi semalam aku pergi sendiri tanpa menunggu Ustazah yang akan membawa kami kerana aku yakin ALLAH akan membantu aku. Aku berjalan laju dan semakin laju tetapi cuba juga supaya tidak berlari, masih teringat-ingat kata-kata petugas berjubah hitam “jangan lari ibu..”Ini Masjid”
Ketika sampai di Raudhah aku lihat semua Jemaah Haji Indonesia meluru terus ke depan di pemidang putih dan berdoa. Aku berdoa Ya ALLAH kau tunjukkan lah aku tempat yang paling baik untuk ku solat dan aku terdorong menuju ke tiang ke dua ditengah-tengah Raudhah. Aku terus berdiri tegak dan mengucapkan salam kepada RasullALLAH dan selawat ke atas Baginda, juga salam kepada Saidina Abu Bakar, Sahabat yang membenarkan Nabi juga salam kepada Saidina Umar Al-Khattab, pejuang Islam yang berkorban untuk Nabi dan Islam. ALLAHUAKBAR! Aku berdoa tanpa kalian tidak akan tertegaknya Islam di muka bumi ini. Betapa banyaknya jasa kalian, Ya ALLAH tempatkanlah aku, keluargaku, ibu bapaku dan zuriat keturunanku bersama-sama mereka di Syurgamu yang paling tinggi buat selama-lamanya.

Aku berniat solat sunat dhuha, membaca surah AlKafirun di rakaat pertama dan Al-Ikhlas di rakaat ke-2, di dalam sujud terakhir aku berdoa untuk dimurahkan rezeki untuk seluruh ahli keluarga dan sahabat handai , satu persatu wajah-wajah mereka aku bayangkan dan aku sebut dibibir. ALLAHUAKBAR! Terima kasih ALLAH yang tidak terhingga- setelah puas berdoa aku bergerak kehadapan, ketika itu Jemaah Afrika sudah mulai masuk. Aku sempat juga solat 2 rakaat dibelakang tiang pertama, dan akhirnya aku berundur, memberi ruang kepada jemaah lain untuk bersolat. Aku keluar dari Raudhah dengan perasaan puas dan terharu kerana ALLAH telah memberi ruang dan peluang yang terbaik untuk aku ke Raudhah di pagi Jumaat 22 Okt 2010.

Dalam hatiku berjanji akan menziarahi Nabi sebelum berangkat ke Makkah pada hari Rabu 27 Okt nanti. Aku melakukan sujud syukur di laluan keluar masjid sebelum aku lihat petugas mengarahkan jemaah untuk bersolat di ruang solat di dalam Masjid Nabi.

No comments:

Post a Comment